Sejarah

Sejarah Pertubuhan Seni Kompang Fatani Malaysia  bermula sejak tahun empat puluhan sebelum Tanah Melayu (Malaya) merdeka dimana dua orang yang berasal dari negara jiran, Bentan,Indonesia, yang dikenali dengan pangilan Kang Munaji bin Mohamad dan Kang Jasman bin Abdul Rahman. Mereka berhijrah ke Singapura dan mengembangkan Perguruan Seni Silat Esha dan dalam mengajar ilmu persilatan, mereka mengamalkan zikir-zikir memuji kebesaran Tuhan. Dalam pengamalan pencak silat tersebut digabungkan dengan paluan kompang mengiringi langkah pesilat dan gerak tari persilatan. Pada masa itu seorang pemuda berasal dari negeri Melaka turut mempelajari zikir-zikir tersebut dan persilatan Seni Esha,pelajaran dari Kang Jasman lebih kepada zikir sedangkan Kang Munaji, lebih kepada persilatan. Beliau yang dimaksudkan ialah Ramli bin Dawam @ Dawang.

Selepas khatam berguru di Singapura, Ramli bin Dawam pulang ke tanah tumpah darahnya, Melaka dan mengembangkan ilmu Tuhan ini dengan beberapa pukulan yang digubahnya sendiri untuk kesesuaian zikir tradisi yang dipelajarinya dan dipetik dari kitab Diwanul Hadrah ( hijau ). Beliau kemudiannya menamakan pukulan dan zikir Esha yang bermaksud Setia dan Sucihati serta mulalah berkembang dinegeri Melaka.

Apabila Ramli bin Dawam berkhidmat dan bermastautin di Selangor, jiran tetangga sering terdengar alunan zikir dan paluan kompang beliau dan berminat untuk bersama mempelajarinya dan bermulalah era Kompang Ezhar di Selangor. Beliau mula melatih beberapa cawangan seperti di Kampung Cendana, Kampung Puah Seberang, Kampung Pandan, Kampung Limau Pantai, Kampung Dato Keramat dan sekitar Kuala Lumpur. Diantara muridnya yang dilantik menjadi guru kompang ialah Cikgu Rahman Yim, Cikgu Mohd Saleh bin Mohd Said, Cikgu Yahaya bin Hassan, Cikgu Sahadan bin Abu Bakar, Cikgu Rasul, Cikgu Alias, Cikgu Mastor, Cikgu Jalal bin Haji Taib dan lain lain. Pada 7hb Januari 1977, Persatuan Kompang Dan Silat Ezhar didaftarkan dengan kerjasama, susah senang beberapa orang sahabat beliau dan berpengkalan di alamat no.5 Lorong D10, Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan setiausahanya pada masa itu ialah Cikgu Mohd Saleh bin Mohd Said. Beliau sangat rapat dengan Cikgu Mohd Saleh bin Mohd Said selaku jurulatih dan mengharap untuk mengganti tempat beliau satu hari nanti. Ketika itu ilmu perguruan dan pengkhataman diturunkan kepada Cikgu Mohd Salleh.

Dengan berdaftarnya Persatuan Kompang Dan Silat Ezhar Negeri Selangor, maka cawangan pun tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Begitu juga dengan perlembagaannya diubahsuai supaya lebih padat dan bersesuaian dengan keadaan pada masa itu. Tersebarlah pukulan dan zikir ezhar di negeri selangor dan keselatan tanah air, hingga menjadi keperluan dalam merayakan sambutan hari kebangsaan dan perasmian musabaqah al quran.

Perkara yang tidak diingini berlaku pada tahun 1978 semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-21 dalam pentadbiran pusat, di mana berlakulah perpecahan.  Cikgu Mohd Salleh bin Dato’ Haji Mohd Said dan beberapa orang jurulatih yang senasib dengannya berjumpa Maha Guru Ramli bin Haji Dawam, berbincang untuk cuba menyelesaikan kekusutan yang menimpa sebahagian besar dari keahlian Persatuan Kompang Dan Silat Ezhar dan apabila tidak dapat diselesaikan, beliau meminta keizinan serta kebenaran dan meminta restu untuk keluar dari Ezhar bersama cawangan-cawangan didikannya. Maha Guru Ramli bin Haji Dawam merestui pemergian Cikgu Salleh dan rakan-rakannya dengan syarat tidak mengubah, menambah atau mengurangkan serta menjaga keaslian kesenian ezhar seperti lafas ijab kabul perkhataman yang diturunkan, maka bermula pada tarikh  itu, Cikgu Mohd Salleh, Cikgu Yahaya, Cikgu Sahadan bersama sahabat- sahabat  jurulatih yang lain cuba bersusah-payah dan berusaha untuk mendaftarkan kesenian ezhar yang dipelajarinya dibawah nama baru seperti yang dilaluinya satu masa dahulu untuk mendaftarkan Persatuan Kompang Dan Silat Ezhar.

Dalam masa pencarian yang sangat perit itu, Cikgu Salleh ditemukan allah dengan seorang yang berjiwa seni dan berjawatan tinggi dalam Perguruan Seni Silat Gayung Fatani Malaysia bernama Cikgu Haji Anuar bin Haji Abdul Wahab dan diajak duduk didalam gabungan pertubuhan tersebut dibawah cabang gendang dan kompang kesenian yang masih kosong. Cikgu Mohd Salleh berbincang dengan sahabat-sahabat seperguruannya lalu mendapat kata sepakat bersetuju dengan tawaran tersebut dan menamakan Persatuan Kompang Fatani Malaysia.

Perkara-perkara yang berlaku dalam Ezhar dijadikan pengajaran dan sempadan untuk terus maju dalam mengembangkan kesenian  ini dan era baru dilalui dengan lebih bererti. Cikgu Mohd Salleh sebagai pengerusi dan dibantu oleh Cikgu Yahaya sebagai setiausaha dan rakan-rakan seperguruan terus memainkan peranan dalam menjayakan perbagai aktiviti dengan membuka cawangan baru, melatih, dan mengkhatamkan sehingga dapat melahirkan jurulatih-jurulatih yang berkaliber untuk dihantar mengajar ke serata tempat.
Sebagai penghormatan kerajaan Malaysia, Persatuan Kompang Fatani Malaysia diminta mengiringi pasukan bola sepak negara bertanding dalam Pesta Bola Merdeka ke Kotaraya Seoul, Korea Selatan. Seramai 200 orang ahli telah bersama-sama memalu kompang di stadium utama Seoul pada ketika itu.

Impian menjadi kenyataan apabila Persatuan Kompang Fatani Malaysia diiktiraf oleh pendaftar pertubuhan negara ( ROS ) berdaftar sebagai pertubuhannya sendiri pada tahun 2008. Ia didaftarkan atas nama Pertubuhan Seni Kompang Fatani Malaysia dengan nombor pendaftaran 0993-08-SEL dan mempunyai keahlian di seluruh negara. Perjalanan pertubuhan ini tambah menyerlah apabila Pasukan Kadet Kompang Fatani ditubuhkan dan gabungan Perguruan Silat Imam Abu diiktiraf dibawah naungannya.